Tuesday, February 19, 2008

Jangan biar emosi pengaruhi undian

SAYA terpanggil untuk berkongsi pengalaman pilihan raya ketika di United Kingdom pada 1980-an. Calon berusaha memenangi hati rakyat dengan apa yang mereka boleh tawarkan kepada rakyat. Mereka beri stimulasi dan inspirasi kepada rakyat untuk meneruskan agenda kemajuan masing-masing. Dengan itu rakyat boleh menilai parti mana yang mereka ada keyakinan untuk terus maju. Saya rasa kempen berorientasikan isu tidak lagi efektif. Pilihan raya bukan wadah atau salurannya. Banyak saluran lain nanti yang rakyat boleh gunakan untuk mempersoalkan isu berkenaan. Rakyat akan berasa jemu dan berasakan tiada penyelesaian kepada permasalahan mereka.

Memanglah bersemangat bila kita mendengar pemidato bercakap berapi-api tetapi kata orang 'tong kosong memang kuat bunyinya'. Rakyat perlu pembelaan tapi caranya mestilah betul. Beri kesejahteraan dan wujudkan peluang kepada rakyat itulah agenda penting sekarang. Saya dengan rasa rendah diri berharap rakyat yang mengundi dan calon yang dipilih sama-sama bertanggungjawab dan rasional dalam proses demokrasi ini dan jangan terbawa-bawa dengan emosi meluap-luap tidak berhaluan. Hala tuju kita ialah kita perlu terus maju.

PROF DR MOHAMAD ROM TAMJIS, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

No comments: