BN USAH PANDANG REMEH HELAH PARTI LAWAN
KETIKA ini, semua pihak baik parti pemerintah atau pembangkang, melaungkan keyakinan mereka untuk mencatat kemenangan bergaya pada pilihan raya umum, 8 Mac ini. Bagi pembangkang, pucuk kepemimpinan tiga parti iaitu DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyuarakan tekad mereka untuk menafikan undi majoriti dua pertiga yang dimenangi Barisan Nasional (BN) di Parlimen selama ini sementara BN pula percaya, rakyat akan sekali lagi memberikan mandat kepada mereka dalam mentadbir negara kerana formula perkongsian kuasa yang diamalkan ternyata membawa pembangunan kepada rakyat. Sesungguhnya, tidak salah untuk kedua-dua pihak menyuarakan keyakinan mereka kerana keyakinan yang terbit ini akan memberikan momentum kepada parti pembangkang mahupun BN bagi menghadapi pengundi ketika tempoh berkempen nanti. Dengan berbekalkan keyakinan itu, ia bukan saja meletakkan sesebuah parti itu dalam keadaan bersedia ketika berhadapan cabaran lawan bahkan memberi tanggapan positif bahawa parti politik yang diundi sebenarnya bersedia untuk melaksanakan agenda pembaharuan dijanjikan.
Bagaimanapun, ada baiknya jika parti politik terutama BN mengambil sikap berhati-hati dan jangan terlalu yakin dengan keadaan sedia ada. Gesaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Seri Mohd Shariff Omar yang meminta BN tidak memperkecilkan keupayaan pihak lawan, amat tepat pada masanya dan wajar dijadikan renungan bersama. Pada ketika BN yakin mampu menumbangkan pembangkang, BN juga perlu berwaspada dengan taktik pembangkang yang kini seolah-olah bermain perang psikologi dengan BN. Sebagai contohnya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada satu sidang media minggu lalu, mengatakan pihak pembangkang amat sukar untuk menewaskan BN kerana ia umpama pertarungan antara 'seekor semut dan gergasi'. Hakikatnya, kekuatan BN memang sukar ditandingi pembangkang, namun kenyataan Guan Eng itu dilihat sebagai sebahagian daripada helah politik mereka untuk mengaburi dan melalaikan BN.
Dengan menyatakan bahawa DAP sebenarnya tidak dapat menandingi BN, Guan Eng sebenarnya ingin mengalihkan tumpuan ramai terhadap pergolakan dalaman yang berlaku dalam parti selain mengurangkan tekanan politik yang dihadapi mereka. Pengumuman menggemparkan Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum kali ini atas alasan pucuk kepemimpinan DAP berura-ura untuk meletakkannya bertanding di kawasan lain, menceritakan segala-galanya. Apa pun, apa yang penting buat BN kini ialah untuk mengemaskinikan jentera pilihan raya masing-masing dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan helah pembangkang. Agenda pembangunan rakyat yang menjadi teras utama perjuangan BN selama ini, perlu diteruskan. Sekiranya ada kelemahan yang dirasakan perlu diberi perhatian, maka gunakan kesempatan ini untuk berbuat demikian. Janganlah menunggu hingga pada saat akhir untuk menangani masalah berkenaan. Dengan mengambil langkah pre-emptive dalam menyelesaikan isu berbangkit, maka ini sekali gus menutup peluang kepada pembangkang untuk menyerang.
MANIFESTO PEMBANGKANG TAK RELEVEN
SAYA terbaca laporan mengenai gabungan parti pembangkang sudah mengeluarkan manifesto bagi membuat janji pilihan raya kepada pengundi di Selangor. Di sini saya ingin menarik perhatian bahawa beberapa janji yang dibuat dalam manifesto itu 'tidak masuk akal' disebabkan kosnya yang terlalu tinggi sementara yang lain adalah tidak relevan kerana ia sudah dilaksanakan kerajaan Selangor. Sebagai contoh, manifesto itu berjanji untuk membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor, memberikan bantuan RM75 sebulan setiap anak yang dihantar ke pusat asuhan kanak-kanak dan memberikan bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan prasekolah. Untuk membiayai tiga program ini saja, kerajaan memerlukan hampir RM100 juta setahun (dengan mengambil kira anggaran purata kelahiran 55,000 bayi setahun) atau hampir 10 peratus daripada anggaran pendapatan kerajaan Selangor bagi 2008 yang berjumlah RM1.34 bilion.
Ini belum lagi termasuk janji seperti elaun untuk suri rumah yang memilih menjaga anak sepenuh masa dan beberapa janji lain. Sebab itulah dikatakan bahawa janji itu tidak mungkin dapat dilaksanakan. Sebenarnya, Selangor sudah lama memperkenalkan beberapa perkara yang disebut dalam manifesto itu, Dalam bidang pendidikan, kerajaan negeri memperuntukkan biasiswa pelajaran untuk anak Selangor selain membiayai pengajian mereka di Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Antarabangsa Inspen, Kolej Universiti Islam Selangor dan Yayasan Selangor. Mengenai bantuan untuk anak muda mendirikan rumah tangga, kerajaan memperkenalkan Skim Perumahan Pasangan Muda bagi membantu pasangan yang baru berkahwin membina kehidupan yang selesa. Sebanyak 5,000 rumah akan disediakan pada 2008, dengan permulaan di Seksyen 24 Shah Alam.
Pembangkang berjanji untuk membantu setiap rakyat Selangor mendapat kediaman sendiri. Janji ini tidak relevan kerana kerajaan negeri sudah melaksanakan pelbagai program bagi tujuan itu. Begitu juga, perlu disebutkan bahawa Selangor adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang berjaya menyelesaikan penempatan setinggan secara sepenuhnya. Sebanyak 47,482 keluarga setinggan dikeluarkan daripada kehidupan setinggan yang tidak teratur, sesak, kotor dan tidak selesa. Bagi membantu keluarga terbabit memiliki rumah yang baik, mereka ditawarkan pembelian rumah berharga RM35,000, iaitu jauh lebih rendah daripada harga pasaran RM42,000 seunit. Kerajaan juga membina 7,000 rumah yang boleh disewa pada kadar serendah RM124 sebulan bagi membantu golongan pendapatan rendah yang tidak mampu membeli rumah. Mengenai janji manifesto pembangkang untuk memberikan ibu tunggal yang layak elaun khas, ia juga sudah lama dijalankan kerajaan. Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Selangor memperuntukkan sejumlah wang yang cukup besar bagi memberikan bantuan kepada hampir 6,000 ibu tunggal di negeri ini.
Pembangkang juga membuat janji umum bagi menjalankan program meningkatkan pendapatan petani. Kerajaan negeri melaksanakan tiga fokus utama pelaksanaan projek pertanian iaitu meningkatkan hasil, mencari kaedah baru meningkatkan pendapatan dan menambah nilai produk pertanian. Sebagai contoh, Tabung Amanah Pengurusan Berpusat yang berjumlah RM8.16 juta diwujudkan bagi membiayai penubuhan 154 Badan Pengurusan Berpusat Padi. Hasil usaha ini, seramai 200 pesawah berjaya mencapai tahap penghasilan 10 tan padi sehektar, iaitu yang tertinggi di negara ini. Elok juga disebutkan bahawa purata pengeluaran padi di Selangor ialah 7.14 tan sehektar semusim. Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pertanian, Mardi dan Universiti Putra Malaysia sedang melakukan kajian percubaan bagi menghasilkan 15 tan/hektar semusim. Jika berjaya, ia menjadi negeri pertama di dunia menghasilkan hasil padi tertinggi semusim. Satu lagi usaha membantu pesawah ialah menerusi projek 'sampah untuk kaya' di mana mereka mendapat pendapatan tambahan dengan menjual jerami untuk dijadikan baja kompos, makanan ternakan dan media perlindungan cerun. Kerajaan negeri menyediakan peruntukan untuk pembelian 66 unit 'baler' untuk mengumpulkan jerami.
Bagi meningkatkan pendapatan petani, kerajaan negeri mengadakan 'kontrak tanaman' dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor bagi membolehkan mereka membekalkan keperluan buah-buahan untuk pelaksanaan projek 'salad buah'. Projek ini memerlukan enam tan buah-buah segar seperti tembikai, nanas N36, belimbing, tembikai madu dan betik sehari untuk eksport. Selaras dengan konsep kerajaan prihatin, Selangor memperuntukkan sejumlah RM10 juta bagi memberikan sagu hati kematian sebanyak RM2,000 kepada waris warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal yang berumur 60 tahun ke atas. Peruntukan ini disalurkan melalui Pejabat Daerah dan mengurangkan bebanan waris. Dalam hal ini, kerajaan Selangor sudah jauh ke hadapan. Tumpuan kepada tiga bidang penting iaitu perumahan, pendidikan dan pekerjaan menentukan semua rakyat negeri ini, termasuklah golongan miskin dan terpinggir mendapat pembelaan sewajarnya.
Tuesday, February 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment