Sunday, February 24, 2008

Politik pembangunan masih relevan

Banyak usaha dilakukan untuk perbaiki taraf hidup rakyat khasnya di luar bandar SAYA selalu menggunakan contoh filem Melayu sebagai cerminan minda, nilai dan psyche orang Melayu. Juga sebagai perbandingan pencapaian orang Melayu dulu berbanding hari ini. Ambil saja filem popular Allahyarham P Ramlee – Penarik Beca, Labu Labi dan Ibu Mertuaku. Penarik Beca, filem pertama arahan P Ramlee beredar di pasaran pada 1956 sementara dua filem yang lain itu dibuat pada 1962. Cuba kita lihat keadaan hidup orang Melayu di dalam filem itu. Seperti tulisan dalam kolum saya di New Straits Times minggu lalu, saya mengatakan kehidupan orang Melayu yang terpancar dalam filem itu sama sekali berbeza dengan keadaan hari ini. Malah makna 'kekayaan' itu sendiri berubah. Perhatikan kehidupan Marzuki (lakonan Uda Umar) dalam Penarik Beca. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai 'orang kaya' malah teras filem itu ialah keangkuhan orang seperti beliau apabila berdepan dengan orang miskin seperti si penarik beca yang bernama Amran (P Ramlee).

Lihat saja gaya hidup orang kaya Melayu pada 1956. Marzuki tidak ada kereta, hidup di rumah kayu, naik beca untuk bergerak ke sana ke mari dan menyimpan wang di dalam peti besi. Perhatikan pula gaya watak playboy zaman itu, Ghazali (Salleh Kamil) yang pergi ke ceti untuk mendapatkan RM7,000 bagi tujuan hidup bergaya. Amran pula tinggal bersama ibunya yang buta di pondok yang bocor ketika hujan. Sepanjang filem itu, dia memakai baju koyak yang sama, malah bagi menunjukkan betapa daifnya beliau, dalam satu satu adegan filem itu dia tidak mampu membeli dua bungkus nasi. Dalam filem Ibu Mertuaku, watak Ibu Mertua yang dibawakan oleh Mak Dara juga dikatakan orang kaya. Dia juga tinggal di rumah kayu. Malah dalam filem Labu Labi, Haji Bakhil (Uda Umar) tinggal di rumah papan tetapi mempunyai sebuah kereta Morris Minor serta menggaji seorang pemandu dan seorang tukang masak. Inilah gambaran kekayaan orang Melayu waktu itu. Kita tidak tahu tahap kemiskinan sebenar orang Melayu masa itu. Kita tahu sekiranya si ibu mertua, Haji Bakhil dan Marzuki masih hidup hari ini, mereka akan dikategorikan sebagai golongan berpendapatan rendah, malah miskin. Begitulah perbezaan di antara 1956 dan 1962 dengan 2008. Hari ini kelas menengah Melayu tumbuh bagai cendawan selepas hujan dan orang Melayu mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang – sesuatu yang tidak mungkin dimimpikan oleh si ibu mertua, Haji Bakhil dan Marzuki dalam filem P Ramlee.

Menurut majalah Malaysian Business terbaru yang menyenaraikan 40 orang paling kaya di Malaysia, dari 18 rakyat negara ini yang nilai kekayaan mereka melebihi RM1 bilion, dua adalah orang Melayu. Malah daripada 10 orang paling kaya di Malaysia, dua adalah orang Melayu – Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dan Tan Sri Azman Hashim. Daripada senarai 40 orang yang terkaya itu, lapan orang adalah orang Melayu. Daripada senarai itu, hanya dua orang kaum India (T Ananda Krishnan dan Datuk Tony Fernandes). Seramai 30 orang daripada kaum Cina. Ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada 1970, lebih 70 peratus orang Melayu berada pada paras kemiskinan. Hari ini kadar kemiskinan di kalangan Melayu hanya kira-kira 7 peratus. Ketika itu dispariti pendapatan di antara kaum Melayu dengan kaum Cina cukup lebar. Hari ini isu itu dapat ditangani. Pada 1970, bilangan isi rumah miskin di kalangan orang Melayu mencecah 548,200. Pada 2002, bilangan itu dikurangkan menjadi kira-kira 200,000 isu rumah. Pada 1970, hanya terdapat 4.9 peratus ahli profesional berdaftar daripada kalangan Bumiputera dan Melayu. Pada 2002, jumlah itu menjadi 30.1 peratus. Malah dalam beberapa profesyen, jumlah profesional daripada kalangan orang Melayu melebihi kaum lain. Malah DEB melahirkan golongan ahli perniagaan dan usahawan Melayu yang berjaya. Hari ini anak Melayu bukan saja memimpin banyak syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia tetapi juga menjadi pemilik atau pemegang sahamnya. Orang Melayu kini mengusahakan pelbagai kegiatan perniagaan. Lebih 19 peratus syarikat berdaftar kini milik orang Melayu, sementara 21.5 peratus syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia milik mereka. Memanglah DEB tidak mencapai sepenuhnya matlamatnya. Kejayaan DEB selalunya dikaitkan dengan aspek pemilikan ekuiti oleh Bumiputera. Memang dari segi peratusnya hanya kira-kira 18.9 peratus masa ini. Tetapi nilai pemilikan itu melebihi RM100 bilion. Sebagai bandingan hak milik modal keseluruhan bagi negara (pada nilai tara) bagi 2004 ialah RM529.7 bilion. Tetapi bukan aspek pemilikan ekuiti saja yang seharusnya menjadi penanda aras kejayaan orang Melayu dalam soal pengumpulan harta. Ada isu lain yang perlu diberikan perhatian juga. Kelahiran generasi perniagaan dan perdagangan, peningkatan kelas menengah Melayu dan pencapaian dalam pembinaan modal insan pelbagai sektor harus juga diberi tumpuan.

Semua ini tidak datang daripada angan-angan dan mimpi. Semuanya lahir kerana dasar yang betul. DEB wujud dengan keinsafan bahawa negara pelbagai kaum harus memastikan pengagihan kekayaan yang adil dan saksama di kalangan rakyatnya.

Mana-mana negara yang pemilikan kekayaannya dikuasai oleh kelompok minoriti lambat laun akan menghadapi banyak masalah. Sejarah membuktikan akibat kejayaan kita menyusun semula masyarakat selepas peristiwa berdarah 13 Mei, apabila kegawatan ekonomi melanda pada 1997/98, kita tidak berdepan dengan keresahan dan sengketa kaum seperti di sebuah negara jiran.

Memang banyak orang memandang rendah soal 'pembangunan' yang selalunya menjadi modal parti pemerintah ketika pilihan raya. Bagi sesetengah orang, kita harus bergerak daripada politik janji pembangunan kepada yang lebih canggih.

Mereka terlupa bahawa Malaysia negara yang unik dan beragam. Kita masih mempunyai kawasan pedalaman yang memerlukan kemudahan paling asas. Ingatlah, dalam kita bercakap tentang soal kemajuan teknologi dan era digital, masih terdapat 767 sekolah rendah dan 28 sekolah menengah di negara ini yang tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam.

Terdapat 1,517 sekolah rendah dan 68 sekolah menengah yang masih belum mempunyai bekalan air bersih. Maka itu, ada baiknya ketika kita terlalu asyik melihat ke langit atau bercakap mengenai globalisasi dan dunia tanpa sempadan, elok juga dilihat kompleksiti negara ini. Politik pembangunan masih relevan. Isu di banyak kawasan di negara ini masih sekolah, jalan raya, bekalan elektrik, dan hal-hal yang oleh orang kota dan bandar dianggap terlalu kecil – soal jambatan, balai raya dan surau.

Memang akan berlaku perbezaan nilai dan sikap rakyat dalam negara seperti ini. Memang akan berlaku juga jurang ilmu dan digital di kalangan rakyat. Kita tidak boleh menyamakan pelajar di Petaling Jaya dengan mereka di pedalaman dari segi kemudahan belajar dan pendedahan pada ilmu. Malangnya mereka menduduki peperiksaan yang sama dan dinilai dengan kayu ukur yang sama. Maka itu pelbagai usaha dilakukan untuk mengurangkan perbezaan ini.

'Pembangunan' bertolak daripada asas memperbaiki taraf hidup rakyat khususnya di luar bandar. Orang kota dan bandar selalu terlupa keperluan itu. Memang kita harus realistik dalam soal membabitkan 'pembangunan' yang selalu dicemuh oleh mereka yang berjaya, berdarjat dan terpelajar. Mereka lupa kadang-kala bagaimana mereka berjaya melonjak pada kedudukan mereka hari ini.

Malah, kecaman paling hebat terhadap dasar kerajaan yang menguntungkan orang Melayu selalunya datang daripada kelompok yang paling banyak mendapat manfaat daripada dasar itu sendiri. Tanpa dasar itu, orang Melayu akan terus hidup seperti Amran atau Orang Kaya Marzuki dalam filem Penarik Beca.

No comments: