Sunday, February 10, 2008

Semangat bakti wakil rakyat mesti tinggi

DEMAM pilihan raya semakin terasa sehingga menjadi topik perbualan seharian masyarakat Malaysia bermula dari kedai kopi sehingga ke dewan kuliah universiti. Saya berminat mengulas pandangan bernas Datuk Saifuddin Abdullah dalam kolum Perspektif, Sabtu lalu berjudul ‘Politik bakti tingkat integriti wakil rakyat’. Saya berpendapat mesej yang disampaikan oleh Saifuddin perlu diberikan perhatian oleh ahli politik khususnya komponen Barisan Nasional (BN) dalam usaha menyahut cabaran memperkasa imej dan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-12 kelak. Sejak kebelakangan ini kebanyakan ahli politik gemar memberikan reaksi mengenai kedudukan mereka dalam pilihan raya akan datang. Ada yang dengan nada tegas mahu mempertahankan kerusi masing-masing, malah ada juga yang mahu bersara daripada arena politik semasa.
Bagi ahli politik yang berminat bertanding sebagai calon baru dan calon lama yang bersungguh-sungguh mempertahankan kerusi masing-masing, sudah tentu mereka mengalami pelbagai dilema dan tekanan psikologi. Sebagai ahli politik mereka asyik memikirkan masa depan, iaitu sama ada nama mereka akan dicalonkan atau sebaliknya. Tidak terlepas juga beberapa calon yang cuba melobi di sana sini untuk mendapatkan simpati dan empathy. Perasaan seperti ‘mandi tak basah, tidur tak lena’ ini hanya akan bersurai selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan nama mereka yang disenarai pendek untuk bertanding sebagai calon Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Berbalik kepada pandangan Saifuddin berhubung ‘semangat bakti sukarela kepada parti dan ibu pertiwi semakin hari semakin sepi’, memang ada kebenarannya. Beliau membandingkan perjuangan ahli politik dulu dan sekarang. Misalnya, beliau menegaskan ahli politik dulu dikatakan membabitkan diri dalam politik untuk berbakti kepada bangsanya.
Tetapi, hari ini, kita melihat lebih ramai berpolitik untuk mendapatkan tempat menerusi undi. Ahli politik lampau menggunakan undi untuk membolehkannya berbakti, kempen untuk mendapatkan undi tidak seberapa. Tetapi, selepas mendapat undi, baktinya hebat. Malangnya, ramai ahli politik hari ini menggunakan ‘bakti sementara’, iaitu jenama baru untuk berkempen bagi mendapatkan undi. Saya melihat ahli politik masa kini mempunyai semangat jati diri dan prinsip perjuangan yang berbeza dengan ahli politik lampau. Misalnya, jika kita tinjau fenomena mat rempit yang melanda generasi muda sejak 1990-an sehingga ke hari ini. Saya sehingga ke hari ini belum terbaca sebarang kenyataan pucuk pimpinan MCA, MIC, Gerakan dan PPP mengenai strategi menangani masalah mat rempit. Mereka seolah-olah melihat fenomena mat rempit adalah masalah sosial masyarakat Melayu dan ia bukan membabitkan masyarakat Cina dan India. Inilah realiti sosial yang terpahat dalam minda segelintir ahli politik bukan Melayu yang lebih selesa untuk memperjuangkan bangsa masing-masing sehingga ‘terlupa’ mengenai politik bakti seperti yang ditegaskan Saifuddin. Pandangan sempit dan pemikiran jumud di kalangan wakil rakyat yang hanya gemar memperjuangkan isu yang bersangkut paut mengenai etnik masing-masing juga tidak direstui Perdana Menteri yang beberapa kali menyampaikan mesej jelas bahawa beliau adalah pemimpin untuk semua masyarakat Malaysia, namun perkara ini kurang difahami ahli politik secara tersirat agar mereka juga mempunyai semangat juang sepertinya.
Saya melihat gagasan modal insan juga kurang diberikan perhatian oleh ahli politik masa kini kerana mereka mengamalkan ‘bakti sementara’ dan bukannya ‘bakti abadi’, iaitu perjuangan sehingga ke akhir hayat. Penekanan modal insan oleh Perdana Menteri sebenarnya wajar dijadikan tema perjuangan oleh ahli politik khususnya wakil rakyat yang berjiwa rakyat. Begitu juga dengan wacana dan gagasan mengenai Islam Hadhari perlu dijelaskan dengan lebih sistematik dan bersepadu kepada masyarakat Malaysia. Saya berpendapat Islam Hadhari secara langsung menekankan aspek modal insan kerana memberikan penekanan terhadap pembangunan insan. Pembangunan insan bererti pembangunan bermula dari dalam individu atau komuniti. Pembangunan insan timbul hasil daripada kesedaran individu atau komuniti untuk maju ke hadapan dan membawa perubahan dalam hidup mereka. Naiwaitu (niat) untuk maju atau progresif akan disusuli oleh tindakan (perbuatan) individu atau kelompok manusia secara kolektif ke arah mencapai satu matlamat. Dalam aspek ini, pembangunan ummah yang ditekankan melalui 10 prinsip Islam Hadhari penting dipraktikkan masyarakat Malaysia. Persoalannya, berapa ramaikah wakil rakyat yang gemar berkongsi ilmu mengenai Islam Hadhari kepada umum? Perkara ini perlu diberikan perhatian dengan minda terbuka. Apakah kriteria yang akan diguna pakai Perdana Menteri untuk memilih calon BN dalam pilihan raya akan datang? Inilah soalan yang bergema di sana sini khususnya di kalangan ahli politik dan pemerhati politik. Apakah pendidikan menjadi kriteria penting atau komitmen terhadap agama dijadikan ukuran utama? Saya kira, calon atau wakil rakyat yang mempunyai ‘track record’ cemerlang dan berkualiti perlu bersandarkan kepada ajaran agama yang murni. Mungkin kita perlu ‘menyiasat’ berapa ramaikah calon ahli politik BN yang memahami sepuluh prinsip Islam Hadhari dan menekankan usaha memperkasa Rancangan Malaysia Ke-9 di kalangan masyarakat Malaysia. Ahli politik yang boleh menghafal 10 prinsip Islam Hadhari saja tidak mencukupi, sebaliknya mereka perlu mengamalkannya sepanjang masa. Secara keseluruhannya, calon yang bakal dipilih perlulah berjiwa rakyat serta mempunyai sifat seperti berwibawa, bermoral dan berakhlak tinggi sekali gus mempunyai semangat juang yang tinggi untuk membantu rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan gender. Sudah sampai masanya wakil rakyat yang dipilih perlulah berjiwa rakyat dan bukannya mengamalkan konsep ‘sendirian berhad’. Kejayaan parti BN dalam pilihan raya akan datang sudah tentu banyak bergantung kepada perpaduan dan kerjasama antara etnik yang murni di kalangan wakil rakyat untuk merealisasikan

Wawasan 2020 dan Misi Nasional. DR SARJIT S GILL, sarjit@putra.upm.edu.my

No comments: