DENGAN mengepit bungkusan baju-T putih dan botol air minuman berlogo Barisan Nasional (BN), seorang tua meninggalkan kumpulan besar penyokong di luar pusat penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Pendang, Kedah.
Sambil tersenyum dan bersalaman, lelaki berumur 60-an berkata: “Depa bagi saya ambillah.”
Seorang penyokong atas pagar pula, Awang Hamid Puteh berkata, dia belum pasti ke mana undinya akan diberikan.
Pesawah dan pekebun kecil getah dari Kampung Ceruk Kudung, Bukit Raya yang mengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai meminta kerajaan supaya memberi perhatian kepada beban kos baja dan racun yang mendadak naik sejak Januari lalu.
“Berapa kupang nak naik lagi. Harga baja ‘biji kajang’ dari Jerman dari RM68 bagi 50kg sudah naik mengejut RM115 bulan lepas. Harga racun pula dari RM35 naik RM75. Macam mana kami nak tahan,” keluh penyokong BN itu yang kawasannya berwakil rakyat dari Pas pada pilihan raya lalu.
Masalah kos pertanian ini bukan berlaku pada dirinya sahaja tetapi rakan-rakan sekampungnya turut meluahkan rasa kecewa itu. Isu tempatan di Pendang dan kawasan penanaman padi di Kedah yang lain hampir sama – rungutan harga padi yang tidak naik sedangkan kos mengerjakan sawah meningkat.
Isu kenaikan harga barangan mungkin dekat di hati golongan tua dalam Parlimen Pendang yang menguasai hampir 40 peratus daripada jumlah pengundi. Malah ada bayang-bayang golongan tua akan mendekati peti undi untuk calon Pas baik peringkat DUN mahupun Parlimen.
Ketika golongan tua percaya Pendang akan terus dikuasai Pas, walaupun menang majoriti tipis 50 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-11 2004 lalu, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pendang, Mohd. Zaidi Othman yakin kemenangan di tangan calon BN yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Paduka Md. Rozai Shafian.
Keyakinan itu disandarkan pada jumlah pemilih baru seramai 6,000 yang mana daripada ahli UMNO sendiri sebanyak 4,000 orang.
“Masalah harga barang tidak menjadi isu besar pada golongan muda, cuma golongan tua. Kerajaan sudah mencuba mengurangkan beban pesawah dengan memberikan subsidi baja dan upah tuai untuk mengimbangkan harga racun dan baja yang mahal. Ini pun satu kebajikan dari kerajaan,” kata Mohd. Zaidi.
Dalam konteks ini, pandangan permerhati politik Tan Sri Dr. Nordin Kardi ada kebenaran bahawa walaupun banyak orang menganggap trend pengundian kini sudah berubah kepada individu calon, ia tidak seratus peratus betul.
“Saya fikir parti politik masih memainkan peranan. Bahkan bila tiba pada hari mengundi, orang yang mengundi parti akan tetap dengan pendiriannya. Siapa yang mahu mengundi Pas akan tetap Pas dan siapa mahu undi UMNO akan pilih BN.
“Tetapi undi dari parti itu adalah kecil. Jadi kedua-dua pihak parti akan berusaha untuk mendapatkan undi yang majoritinya adalah daripada pengundi neutral atau di atas pagar,” kata Naib Canselor Universiti Utara Malaysia ketika ditemui di Sintok Khamis lalu.
Pada Nordin, seperti biasa trend itu akan kekal. Hakikatnya bukan setiap pengundi akan melihat latar belakang calon. “Selepas parti, baru isu calon akan jadi pertimbangan pengundi,” kata beliau.
Pada Nordin, sama ada pengundi bandar atau di luar bandar, trend cara berfikir orang Melayu hampir sama sahaja. Sebab pengundi yang ada di bandar pada asalnya adalah dari luar bandar.
Dalam pilihan raya kali ini, trend pengundian juga akan bergantung pada isu-isu yang dimainkan. Pengundi akan memilih berdasarkan isu-isu, sama ada peringkat negara atau isu tempatan.
Bagaimanapun kata Nordin, apabila tiba hari untuk memangkah, pada masa itu isu tempatan akan memainkan peranan. Isu-isu melibatkan negara akan berkurang.
“Kadang-kadang kempen yang menyentuh isu-isu besar bertujuan membetulkan pemikiran pengundi. Tetapi tidak semua isu sesuai ditonjolkan. Misalnya orang dari Kuala Lumpur berkempen di Kubang Pasu membawa isu-isu nasional, padahal tidak semestinya pendekatan itu betul. Kadang-kadang penduduk kampung tidak faham isu-isu nasional itu,” jelas Nordin.
Terkejut
Orang kampung akan mengundi berdasarkan apa faedah yang mereka dapat jika memilih calon parti berkenaan. Malah jangan terkejut jika isu tiada bekalan air, bekalan elektrik selalu terputus boleh mempengaruhi tingkah laku para pengundi pada pilihan raya umum.
Perkara ini jangan sekali-kali diabaikan dalam kempen peringkat kawasan. Barangkali ada yang mengatakan pengundi berkenaan telah membuat kesilapan dalam memilih wakil rakyat akibat emosi yang terganggu. Namun bagi Nordin ia bukan emosi tetapi itu yang sebenar apa yang mereka perhatikan hari-hari.
Kadang-kadang perkara dianggap remeh ini kerajaan tidak perasan. Mungkin perasaan ‘sakit hati’ ini akan dikumpul dengan tanggapan pengurusan kerajaan tidak betul, kesannya akan terkena pada calon parti BN.
“Jadi jangan pandang ringan soal kerja-kerja mengorek jalan, syarikat bekalan air membuat kerja membaiki paip pada hari pilihan raya semata-mata untuk tunjuk ada projek tetapi ia menyebabkan segelintir pengundi sakit hati. Jadi perkara seumpama ini harus diurus dengan bijaksana,” kata Nordin.
Pengundian, kata Nordin, keseluruhannya melibatkan emosi. Perkara ini yang selalu dilupakan oleh parti-parti politik baik kerajaan ataupun pembangkang.
Walaupun cerita-cerita kempen mengenai projek pembangunan dan calon menarik untuk persediaan mental kepada pengundi, tetapi pada kesudahannya bergantung detik penentuan atau moment of truth di hari pengundian,
Walaupun pemikiran pengundi boleh ditetapkan tetapi perangai boleh berubah. Jika pada hari mengundi ditakdirkan berlaku musibah yang ada kaitan dengan parti politik tertentu ada kemungkinan dia mengubah undinya untuk pihak berlawanan dengan pilihannya sebelum itu.
Kini lebih 700,000 pengundi muda menjadi pemilih buat pertama kali. Menurut Nordin, trend undi pemilih muda bergantung dengan siapa dia berkawan. Jika berkawan dengan orang Pas maka berkemungkinan dia akan undi Pas, jika rapat dengan kawan UMNO, dia akan pilih BN. Faktor keluarga juga mempengaruhi pengundi muda sama ibu bapanya penyokong kerajaan atau pembangkang.
“Namun demikian bila tiba moment of truth dia akan berbalik pada emosi masa itu. Perkara kejutan ini selalu tidak difikirkan oleh orang politik. Ini selalu mengejutkan calon-calon parti," jelas Nordin.
Apa pun penentu kemenangan parti bukan bergantung pada jumlah ahli parti tetapi adalah golongan neutral. Orang yang selama ini berada di atas pagar dan tidak menganggotai mana-mana parti politik akan menentukan ke mana undinya akan diberikan.
Parti dan calon mana yang berjaya menambat hati orang di atas pagar ini akan menang.
Sunday, February 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment